Friday 26 April 2013

Saluran komunikasi ibubapa

Saya fikir untuk kebaikan semua ibu bapa di lembah kelang iaitu di Selangor maka saya telah membentuk grup whatsapp bagi telefon pintar dari seawal bulan Mac tahun 2013.  Beberapa ibu dan bapa telahpun sudi menyertainya.  Bagi ibu bapa yang anak mereka berada di JeSS jika ada yang sudi boleh menyatakan nombor telefon masing-masing secara sms ke talian 0197283877. Bilangan adalah terhad sehingga 30 orang sahaja.

Kemudian pada malam ini, terfikir pula saya untuk membentuk grup FB  bagi ibubapa yang tidak menggunakan aplikasi whatsapp. Bagi ibu bapa yang membaca blog ini dan ingin menyertainya boleh pm saya ke ID enche takeo. Grup ini pula terbuka kepada semua ibu bapa dan tidak terhad untuk kawasan lembah kelang sahaja.

Kedua-dua saluran ini bertujuan untuk membolehkan ibubapa berbincang sesama sendiri hal anak-anak dan sekolah, bertukar pandangan dan meminta bantuan.  Di samping itu, boleh juga menjadi wadah mengeratkan silaturahim sesama ibu bapa.

Thursday 11 April 2013

Waktu berlapang-lapang di JeSS

Waktu menjengah anak-anak ialah pada hari Jumaat dan sabtu. Pelawat perlu lapor diri dan mengisi borang.

Untuk pulang ke rumah dibenarkan sekali dalam sebulan.

Bagi hari lain, lawatan tidak dibenarkan tetapi jika ingin menitipkan barang keperluan, tinggalkan saja di pondok pengawal keselamatan.

Tuesday 9 April 2013

Harga sebuah sekolah

Sekolah ini berharga lebih rm82 juta dan kos bangunan sahaja mencecah rm66 juta.
Sekolah ini mempunyai 30 buah kelas untuk keperluan 900 orang pelajar.  Asrama pula, 3 buah blok untuk putra dan 3 blok lagi untuk puteri. Dibuka pada 24 disember 2012.

Satu usaha kerajaan dalam memberikan pendidikan kepada rakyat.

Nota: Petikan dari ucapan-ucapan semasa pendaftaran tempoh hari.

Monday 8 April 2013

Tingkatan 4 pula.

Semasa pendaftaran anak tempoh hari, sekolah beritahu, pelajar-pelajar tingkatan empat akan mendaftar pada 15 hb April 2013.  Pengambilan seramai 240 orang bagi 8 buah kelas.  Ramai tuuuuu! Tahniah bagi yang berjaya.  Pulun-pulunlah belajar.  Usah sia-siakan harapan ibu bapa. Jagalah diri baik-baik.

Anak saya kata dia memohon untuk jadi sukarelawan pada hari itu. Saya harap dia berjaya demi perkembangan kognitif dirinya.

Wednesday 3 April 2013

Hotel, homestay dan guesthouse di Jeli

Hotel di sini adalah dalam kategori buget tapi tidak mengecewakan:

1.  Jeli Inn bersebelahan dengan MRSM Jeli di Gemang dan 5 km dari pekan Jeli. Hubungi 013-9324145 atau 019-9994583.  http://jeliinn.blogspot.com/

2.  Jelita Inn bersebelahan MRSM Jeli di Gemang dan 5 km dari pekan Jeli, hubungi 0139642052, 0139065861, 099467884, 099467885

2.  Ayna Guest House dalam Pekan Jeli, hubungi 0199979030, 0192458558 atau 01998959959.  Sebagai panduan  http://nizamnz.blogspot.com/2010/10/hotel-di-jeli-ayna-guest-house.html 

3.  TKT Hotel hubungi 01114936978, di Kampung Berdang sebelah pekan Jeli.  Masjid di belakang hotel ini.




ada banyak homestay tapi tidak dapat diperincikan di sini. cuma yang ini http://www.mudah.my/NR+Pergau+Guest+House+Jeli+Homestay+Jeli-10494419.htm

JeSS dalam peta


sumber:  http://www.kesedartravel.com.my/LokasiKttsb.htm



Kedudukan JeSS ialah di antara Kg. Berdang dan pekan Jeli. 
Sumber:  http://www.mdjeli.gov.my/web/guest/m_loc

Tuesday 2 April 2013

Logo dan lagu sekolah

JeSS belum punyai logo dan lagu.  Siapa minat bolehlah mencuba. 

Mungkin http://www.thenutgraph.com/mana-saya-mau-letak-ini/ minat kot buat lagu? Gred 8 piano dari form 3 lagi,  eerrrr rasanya!

Logo! bukan mudah. Ia mengenai asas persekolahan, wawasan, dinamis, pragmatis dan kritis.

Cuti Pertengahan Penggal Pertama

Cuti pertengahan penggal pertama ialah 21 Mac 2013, ibu bapa boleh mengambil anak selepas waktu tengahari iaitu sebaik sahaja mesyuarat PIBG kali pertama selesai.  Pelajar yang tinggal berdekatan tentulah tidak ada masalah.  Manakala, pelajar-pelajar daripada pantai barat semenanjung dikatakan telah pulang lebih awal lagi; para guru telah mengusahakan tiket dan pengangkutan untuk mereka menggunakan bas ekspress ke Lembah Kelang.  Syabas cikgu-cikgu! anda bertindak cemerlang. 

Walaubagaimana pun, anak saya adalah di antara 4 orang yang terpaksa pulang pada hari Jumaat.  Seperti syak saya dari awal lagi, maklumat tidak sempurna daripada anak.  Alangkah baiknya, kalau anak saya pulang dengan bas ekspress saja, tak mengapalah, inilah namanya takdir. 

Jumaat, 22 Mac 2013, jam 4.20 pagi, saya bergerak keluar dari Semenyih.  Saya jangka akan tiba di Jeli antara jam 12 dan 1 petang dan jangkaan itu tidak meleset.  Sampai di pintu pagar, pengawal keselamatan minta saya berhubungan dengan warden yang tinggal, Cikgu Izanee (bukan ejaan sebenar) juga ketua guru kaunseling.  Guru ini telah dihubungi untuk memberitahu mengenai ketibaan saya dan beliau sebenarnya telah dimaklumkan secara SMS sejak dari semalam lagi.

Inilah namanya takdir,  kelemahan diri saya dan anak telah membolehkan saya dapat berkenalan singkat dengan Cikgu Izanee dan anak saya juga bertuah kerana lebih mengenali gurunya.  Kepada guru ini saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih atas budi luhurnya yang menjaga anak saya dengan amat baik.  Setakat ini yang mampu saya lakukan ialah mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan rahmat Tuhan kepada guru ini, anak dan isterinya.  Moga Allah makbulkan permohonan ini.  Saya dimaklumkan bahawa 3 orang pelajar lagi telah dibawa ke Tanah Merah ke rumah seorang guru yang lain.

Saya tidak boleh berlama-lama di JeSS kerana waktu solat Jumaat amat hampir dan saya pula perlu bergerak keluar dari Jeli selewat-lewatnya jam 4 petang untuk menuju ke Sungai Petani pula, atas satu tanggungjawab yang amat penting.

Mesyuarat PIBG kali pertama

21 Mac 2013 adalah hari mesyuarat PIBG kali pertama di JeSS iaitu selepas pelantikan Pengerusi Penaja sewaktu pendaftaran tempoh hari.  Sayang sekali saya tidak hadir pada pagi tersebut.  Pelajar-pelajar ada dimaklumkan tetapi maklumat tidak jelas daripada anak saya.  Surat panggilan mesyuarat saya terima pada 26 Mac 2013.  Saya syak setem berharga 50 sen adalah punca kelewatan sebab bila saya rujuk ke pejabat pos harga setem yang sepatutnya ialah 80 sen bagi ukuran bukan standard untuk sampai ke destinasi dalam jangka masa yang diingini. Tak mengapalah, bukan jodoh kita.

Thursday 21 March 2013

Dah ada telefon awam

Dalam satu dua minggu sebelum anak bercuti pertengahan penggal, dia kerap menelefon.  Bagus!  pihak JeSS telah mengusahakan telefon awam tapi sayang kerap terputus, bukan kerana peralatan tidak bagus tapi sebab syiling tak pernah cukup. 

Saya rasa perbualan antara ibu dan anak ini, tak sempurna, maklumat tidak sampai penuh, ada salah dengar, ada cakap tak habis.  Biasalah, kalau talian terputus sokmo.  Saya minta isteri buat panggilan ke telefon awam itu tapi tidak pernah berjaya.  Saya syak kemudahan untuk orang luar untuk buat panggilan tidak disediakan, tak macam zaman saya di sekolah menengah dulu, lagi, boleh buat reverse-charge pula.  Sebagai perbandingan cuba tonton filem arahan P.Ramlee berkaitan dengan Do Re Mi di babak Boyfriend buat panggil telefon kepada aweknya tapi mak awek yang jawab hehehe...

Apapun saya akan ambil anak saya pada hari jumaat 22 Mac 2013, atas sebab kekangan fasiliti dan perancangan teknikal.

21 Mac 2013

Tuesday 19 March 2013

Pos-pendaftaran

Jam 5.50 petang saya keluar dari kawasan sekolah untuk kembali menginap di Jelita Inn yang hanya mengambil masa kurang 15 minit.  Di waktu itu, ada sebuah outlet di R&R Jeli masih dibuka bagi menjual makanan dan saya terus makan malam di situ.  Masakan panasnya boleh tahan sedap.  Macam saya sangka, outlet itu ditutup pada jam 7.00 malam.

Menjelang malam selepas maghrib saya habis masa di Masjid Jeli sehingga selesai solat Isyak.  Untuk membeli barangan pada waktu malam saya cadangkan membelinya di Petronas dan Shell yang kesemuanya berada di  route lebuhraya timur-barat (Jalan Grik-Pasir Puteh) dan terletak antara R&R Jeli dan sebelum persimpangan pertama dan kedua ke Pekan Jeli,.


Pagi esoknya saya berangkat pulang melalui jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang.  Rupa-rupanya dalam perjalanan itu, terdapat 2 lokasi R&R iaitu di Kuala Balah (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kuala_Balah) dan Jelawang (http://ms.wikipedia.org/wiki/Laluan_Persekutuan_Malaysia_66) sebelum mengambil simpang ke kanan untuk ke Gua Musang.  Selepas simpang itu, suasana agak sunyi dan permukaan jalanraya tidak begitu bagus.  Ada simpang-simpang masuk ke kawasan pembalakan, kelihatan juga air terjun gunung Stong (http://www.mddabong.gov.my/gunung) yang begitu menawan hati di sebelah kanan.  Saya tidak rekomen untuk membuat perjalanan di waktu malam di jalan-jalan seperti ini.  Tapi saya teringat akan satu papan iklan besar bahawa jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang akan diperelok untuk kemudahan semua.  Saya berdoa supaya hasrat itu berjaya dengan mudah.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1.5 jam dan saya berehat kemudian di Hentian Gua Musang sambil menghabiskan sebotol Red Bull.

Sunday 10 March 2013

Pendaftaran

Tarikh 24 Februari 2013, kami tiba di Sekolah Menengah Sains Jeli jam 7.50 am.  Hujan amat lebat dari semalam lagi.  Pendaftaran bermula jam 8.30 am.  Guru-guru amat membantu.  Fasilitator terdiri dari pelajar SMS Machang.  Pengembelingan sumber manusia amat baik.  Sarapan percuma disediakan untuk ibubapa dan pelajar.  Cuma Ko-op belum dapat berfungsi penuh, banyak barangan belum tersedia tetapi agak beruntung apabila cadar, sarung bantal dan selimut ada dijual.  Barang-barang lain perlu didapatkan dari Pekan Jeli.  Senarai pelajar menunjuk mereka datang dari Machang, Tanah Merah, Jeli, Terengganu, Perak dan Selangor.  Hanya 17 orang pelajar dari luar Kelantan mendaftar pada hari itu.


Jam 12 tengahari, To' Pa tiba merasmikan sekolah ini dan sekolah ini akan dikenali dengan panggilan JeSS (Jeli Science School).  Makan tengahari ditaja oleh pemaju dengan 2 ekor lembu ditumbangkan.  Usai solat di surau, kami anak beranak bergegas ke dorm pelajar, jam menunjukan jam 2.30 pm.  Hujan rebas-rebas.


Jam 3.15 pm, kami ke Pekan Jeli semula mencari barangan tertinggal, sejadah umpamanya selain air minuman.  Sejak masuk ke kawasan asrama, saya belum nampak mesin water-cooler/ heater untuk bekalan minuman pelajar-pelajar. Katanya ada sentakuki @ mesin basuh tapi saya tidak nampak pula.  Secara amnya, dorm yang disediakan nampak selesa dan tidak padat; 8 orang sedorm.


Jam 4.30 pm, kami tiba semula di asrama,  aktiviti orientasi akan bermula jam 5 pm.  Anak, saya peluk dan cium puas-puas sebelum berpisah.  Saya berdoa dia boleh survive dengan kehidupan di JeSS.

Pekan Jeli

Tarikh 23 Februari 2013, tiba di Jeli jam 12.00 selepas check-in di Jelita Inn, kami makan tengah hari di persimpangan jalan masuk ke hutan simpan. 



Setelah kenyang, pekan jeli kami jelajah dengan berjalan kaki, rebas-rebas hujan turun.  Stesen bas ekspres tidak ada staff, ini kena diperbaiki.  Stesen kereta sewa baik urusannya, kedai gunting rambut ada di stesen bas berhenti-henti.  Pejabat pos di di bangunan MARA.
 

Bersebelah bangunan pejabat pos ada Bank Simpanan Nasional.


Habis sepetang di Pekan Jeli, kami balik ke Jelita Inn yang merupakan R&R Jeli.  Malam pula kami makan di seberang jalan iaitu di Jeli Inn, tidak ada pilihan lain melainkan jika sanggup pandu kereta untuk keluar.  Kesalnya ialah kedai-kedai makan di R&R Jeli tutup semua pada malam hari.


Foto-foto di Pekan Jeli:


Hari perjalanan

24 Februari adalah hari pendaftaran, 3 hari sebelum itu saya menerima surat tawaran yang diposkan ke rumah sepertimana yang telah dijanjikan oleh KPM.

Pada hari perjalanan ke sana iaitu 22 Februari, di bentong saya menerima panggilan dari isteri; ada satu surat daripada sekolah pula.  Aisyeh! Tak kan nak balik pula, saya buat panggilan ke sekolah.  Satu perempuan cakap tak mengapa, jumpa saja di sekolah.

Di Raub kami singgah di masjid untuk solat dan rehat.  Hentian Gua Musang untuk makan malam.  Ke Kota Bahru dahulu untuk bermalam itu pun sudah masuk jam 11 pm.

Wednesday 13 February 2013

lagi panggilan masuk

Hari ini hampir genap sebulan, Encik Yusof daripada Kem. Pelajaran menelefon.  Sekali lagi saya ditanya, anak benar-benar mahu ke SM Sains Jeli? Ketawa kecil saya, tentulah jawabannya mahu.

En. Yusof memaklumkan pindaan tarikh mendaftar, dari 25 hb Feb 2013 ke 24 hb Feb 2013.  Aiseh! Kena pinda tarikh cuti nampaknya.  Apa pun terima kasih atas makluman.  Surat akan dihantar dan mesti bawa bersama semasa pendaftaran.

Sunday 20 January 2013

rehat n rawat

perjalanan pergi dari lembah kelang:
1. petronas selepas hentian lentang, karak highway.
2. masjid raub, 100 meter di hadapan ada shell.
3. masjid dong
4. petronas benta dan 1 km di hadapan ada r&r benta
5. esso selepas persimpangan kuala lipis
6. shell kechor tui
7. petronas kechau (sebelah kanan)
8. hentian rehat gua musang ada esso (sebelah kanan)
9. shell gua musang 300 meter ada masjid gua musang
10. R&R Jelawang

perjalanan balik ke lembah kelang:
1.  R&R Jelawang (sebelah kanan)
2.  Hentian gua musang
3.  petronas kechau
4.  R&r binjalselepas persimpangan ke kuala lipis
5.  Mobil selepas persimpangan kuala lipis
6.  r&r benta (sebelah kanan)
7.  Petronas sebelum bandar raub
8.  BHP selepas raub, ada gerai makanan di sini.
9.  shell bentong
 

Wednesday 16 January 2013

Perhubungan antara ibu dan bapa

Saya letakkan di sini e-mel saya untuk perhubungan.  Tujuannya ialah untuk ibu bapa yang berada di luar mahu di dalam Kelantan dapat berkomunikasi dengan saya; hal anak-anak dan sekolah.  Mungkin di peringkat ini ibu dan bapa di luar Kelantan mencari sekutu untuk persediaan ke sana.

e-mel :  gelembai@yahoo.com

oppssss lupa! untuk Facebook, id saya ialah Enche Takeo.  Selamat berhubung.

Bapa & Kawan

Jam melepasi 6.00 petang.  Telefon saya berdering, biasanya saya tidak angkat panggil yang tidak saya kenal tapi kali ini hati berdetik untuk menyambut.  Encik Johari di talian.  Bapa kepada seorang bakal pelajar di SM Sains Jeli.  Tinggal di Saujana Impian dan tidak jauh dari Semenyih.  Syukur kepada tuhan, ada juga peneman untuk saya dan anak saya nanti.

Encik Johari beritahu, ada seorang lagi di sekolah anaknya sekarang yang akan ke sana.  Lega! sekarang sudah ada 3 orang.  Maklumlah adat berjauhan dari keluarga nanti sekurang-kurang rakan taulan yang berdekatan boleh membantu antara satu sama lain.

Saya sudah berjanji untuk membekalkan no. perhubungan hotel-hotel kecil di Jeli.  Memang sukar mendapatkan info tapi saya amat pasti Tuhan akan membantu.  Pada saya perjalanan ke sana mungkin tidak sesukar Encik Johari sebab saya selalu ke Kelantan.  Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pulai Chondong, Ketereh, Peringat, Bukit Marak, Binjal, Kubang Krian dan Kota Bahru adalah kawasan-kawasan laluan saya. Malah untuk ke Kedah, saya akan melalui Tanah Merah sebelum tiba ke Jeli.

Untuk ke sana dari Daerah Hulu Langat, semestinya kita melalui lebuhraya Karak.  Kemudian Bentong, Raub, Kuala Lipis, Padang Tengku, Merapoh, Gua Musang,  Dabong dan akhir sekali Jeli.  Laluan ke sana, saya rasa tidak sukar kerana ada papan tanda jalan yang mudah dibaca.

Untuk berhenti rehat,  Raub dan Gua Musang adalah destinasi pilihan saya.  Ada masjid dan stesen minyak.  Sampai di Benta pun ada sebuah stesen minyak Petronas di sebelah kanan jalan.  Simpang ke Kuala Lipis ada esso di sebelah kiri.

Semoga perjalanan kita semua menjadi mudah dengan izinNya. 

-15 Jan 2013-

Pejabat Pelajaran Daerah Jeli

Jam 2.00 - 3.00 petang dan sedang saya sibuk di pejabat, telefon berdering.  Dihujung talian ada suara lelaki.  Dialek kelantan, dalam hati berkata "siapa tu?".  Nama Encik Zul, daripada Pejabat Pelajaran Daerah Jeli.  Beliau memaklumkan pendaftaran di SM Sains Jeli ialah pada 25 Februari 2013. 

Wow! panjangnya percutian anak saya,  memang saya tidak memasukkan dia ke mana-mana sekolah lagi, saya mahu lebih fokus. Dari segi kedatangan ke sekolah dalam setahun, mungkin tak cantik  tapi saya rasa tindakan itu lebih praktikal.

-11 Jan 2013-  

Thursday 3 January 2013

Bank

Jeli-Semenyih jauh jaraknya.  Minimum 6 jam 20 mint perjalanannya dengan kenderaan tanpa henti untuk 405 KM.  Jauh benar rasanya.  Untuk memudahkan urusan, saya perlu menyediakan akaun bank khas untuk anak saya in case tak dapat nak hulurkan duit belanja dalam masa yang singkat.

Akaun dah dibuat pada minggu lepas lagi.  Saya bercadang nak ajar dia untuk mengguna dan mengendali ATM besok hari.  Moga TUHAN mudahkan urusan.   

-4 Jan 2013-

Menjejak ibubapa

Malam dan saya hidupkan Wifi.  Carian saya ialah SMS Jeli dan dapat FB Tok Pa.  Ada 2 ibubapa yang respon di situ.  Saya terus add mereka dalam FB saya.  Saya harap kedua-duanya satu masa nanti boleh berkomunikasi dengan saya berkenaan hal sekolah dan anak-anak.  Untung mereka sebab kedua-dua berada di kawasan pantai timur; satu di KB dan satu di KT.

Carian saya seterusnya dari sebuah blog, pemunya ialah seorang kakak yang adiknya bakal sama sekolah dengan anak saya.  Bakal pelajar bernama Nurul Syamimi kemungkinan berasal dari KB.

-2 Jan 2013-

Talian tiba-tiba senyap

Saya buat panggil ke Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.  Berkali-kali dail nombor ini 03-8321 7400.  Akhirnya ada suara perempuan di talian dan saya berasa lega.  Cik itu kata SMS Jeli buka bulan Februari dan akan buat panggilan melalui surat.  Saya minta dia transfer talian ke pegawai yang in-charger untuk tanya soalan lanjut, okay dia pun transfer, ada dering dan kemudian senyap sepi.

Saya rasa kecewa sebab taliannya cuma satu, selalu sibuk, sistem tak cukup canggih untuk kendali panggilan masuk yang banyak.  Rasa kesian pun ada, kenapa penjawat awam tak dibekalkan dengan peralatan yang baik, adakah sebab tidak diminta? atau adakah peruntukan tidak ada? Boss dia bernama Hj Rosland Hussein, nama unik macam nama kawan saya masa belajar kat U, tapi entah tak tergerak pula hati nak bertanya.

-2 Jan 2013-

Tuesday 1 January 2013

Barang-barang telah sedia

Berhari-hari juga nak melengkapkan barang-barang anak saya.  Saya harap tidak kecewa, manalah tahu tawaran ni SPAM.  Hehehe...nak ketawa pun ada.  Baju, seluar, sut melayu, beg, perkakasan kebersihan dan semuanya telah siap sedia.  Anak saya selamba aje.

-30 Disember 2012-

Maya lagi rupanya

Saya hubungi MARA untuk tanya keputusan MRSM.  Cik di situ kata kalau dapat SBP maka ke MRSM otomatik gugur.  Ooooo! baru saya tau.  Memanglah rezeki anak saya di Jeli dan bukan seperti yang diharap.

Saya hubungi kawan lama saya En. Izudin di KPM.  Dia kata sekolah dah ada tapi persediaan untuk menerima murid masih belum lengkap.  Kemasukan mungkin pada bulan Februari 2013.  SM Sains Jeli ini baru nak dibuka dan anak saya adalah merupakan pengambilan pertama.  Dia kata KSU dan KP baru nak pergi melawat.  Dia suruh saya tunggu surat daripada SM Sains Jeli.

Saya hubungi SM Sains Machang untuk merisik tapi pejabat sekolah beritau; nombor telefon SM Sains Jeli belum wujud lagi.  Jadi saya nak hubungi siapa lagi?  Saya nak tahu di mana lokasi sebenar sekolah ni? Ada atau tidak hotel/ inap desa yang berdekatan?  Saya google, dapat!  Saya google lagi masa perjalanan; sekurang-kurangnya 6 jam 20 minit.  Jauh tuuuuu.......Alahai!

-24 Disember 2012-

Reaksi Anak

Anak saya memang jenis selamba, muka dia memang selamba dengan berita yang diterimanya.  Anak saya kata dia memang nak dan setuju ke SM Sains Jeli, dia tak mahu sekolah di Semenyih, tak best katanya.  Saya suruh dia bersedia mental dan fizikal, dia sengih-sengih.  Dia kata foto saiz IC dah ambil.

Saya pun cetak surat tawaran dan borang-borang yang berkaitan untuk diisi.

-21 Disember 2012-

Surat Tawaran

Anak saya, lelaki, dapat tawaran ke SM Sains Jeli.  Tawaran adalah secara atas talian.  Mula-mula saya ingatkan tak akan dapat sebab hardcopy tak dihantar pun ke KPM.   Alih-alih bila isteri saya check, dapat pula tawarannya tu.  Itulah namanya rezeki.

Yang kurangnya ialah saya terpaksa keluarkan duit untuk anak ambil exam di MRSM Alor Gajah.  Kalaulah kan, kalaulah kan tahu lebih awal dapat SM Sains Jeli kan bagus.  Dapat jimat serba sedikit di zaman semuanya mahal ni.  Bukan nak berkira tapi lebih baik duit tu digunakan ke tempat lain yang lebih bermanafaat.

Macamana pun tak mengapalah, semua adalah takdir Tuhan jualah, Dia lebih mengetahui perkara yang terbaik untuk kita.



-20 Disember 2012-