Tuesday 2 April 2013

Cuti Pertengahan Penggal Pertama

Cuti pertengahan penggal pertama ialah 21 Mac 2013, ibu bapa boleh mengambil anak selepas waktu tengahari iaitu sebaik sahaja mesyuarat PIBG kali pertama selesai.  Pelajar yang tinggal berdekatan tentulah tidak ada masalah.  Manakala, pelajar-pelajar daripada pantai barat semenanjung dikatakan telah pulang lebih awal lagi; para guru telah mengusahakan tiket dan pengangkutan untuk mereka menggunakan bas ekspress ke Lembah Kelang.  Syabas cikgu-cikgu! anda bertindak cemerlang. 

Walaubagaimana pun, anak saya adalah di antara 4 orang yang terpaksa pulang pada hari Jumaat.  Seperti syak saya dari awal lagi, maklumat tidak sempurna daripada anak.  Alangkah baiknya, kalau anak saya pulang dengan bas ekspress saja, tak mengapalah, inilah namanya takdir. 

Jumaat, 22 Mac 2013, jam 4.20 pagi, saya bergerak keluar dari Semenyih.  Saya jangka akan tiba di Jeli antara jam 12 dan 1 petang dan jangkaan itu tidak meleset.  Sampai di pintu pagar, pengawal keselamatan minta saya berhubungan dengan warden yang tinggal, Cikgu Izanee (bukan ejaan sebenar) juga ketua guru kaunseling.  Guru ini telah dihubungi untuk memberitahu mengenai ketibaan saya dan beliau sebenarnya telah dimaklumkan secara SMS sejak dari semalam lagi.

Inilah namanya takdir,  kelemahan diri saya dan anak telah membolehkan saya dapat berkenalan singkat dengan Cikgu Izanee dan anak saya juga bertuah kerana lebih mengenali gurunya.  Kepada guru ini saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih atas budi luhurnya yang menjaga anak saya dengan amat baik.  Setakat ini yang mampu saya lakukan ialah mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan rahmat Tuhan kepada guru ini, anak dan isterinya.  Moga Allah makbulkan permohonan ini.  Saya dimaklumkan bahawa 3 orang pelajar lagi telah dibawa ke Tanah Merah ke rumah seorang guru yang lain.

Saya tidak boleh berlama-lama di JeSS kerana waktu solat Jumaat amat hampir dan saya pula perlu bergerak keluar dari Jeli selewat-lewatnya jam 4 petang untuk menuju ke Sungai Petani pula, atas satu tanggungjawab yang amat penting.

No comments:

Post a Comment